• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Langgar SOP: JKNT keluarkan Kompaun RM2.7 Juta

KUALA TERENGGANU, 21 September - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan 1,048 kompaun bernilai RM2.7 juta kepada syarikat dan individu di seluruh negeri itu kerana ingkar Prosedur Operasi Standard Perintah Kawalan Pergerakan (SOP PKP) bermula Januari hingga semalam.

Pengarahnya, Dato' Dr Kasemani Embong berkata antara kesalahan dilakukan adalah melakukan rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran, mengadakan ziarah raya, tidak memakai pelitup muka, gagal mendaftar dalam MySejahtera dan tidak melakukan penjarakan fizikal.

"Daerah Kemaman merekodkan kompaun paling tinggi dikeluarkan iaitu lebih RM1 juta diikuti Dungun (RM923,000), Setiu (RM157,000), Kuala Terengganu (RM139,000) dan Marang (RM127,500).

Beliau berkata demikian selepas meninjau  program vaksinasi pelajar tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, di sini hari ini.

Dalam program tersebut, lebih 800 pelajar dari tiga sekolah iaitu SMK Padang Negara, SMK Sultan Sulaiman dan SM Agama Sultan Zainal Abidin menerima suntikan dos pertama Pfizer.

Sementara itu, Dr Kasemani berkata sebanyak RM49,500 nilai kompaun sudah dikeluarkan dalam tempoh peralihan Terengganu ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara sejak 17 September hingga Isnin.

"Dalam tempoh empat hari, hasil pemeriksaan sebanyak 24 kompaun dikeluarkan yang mana dua kesalahan adalah masing-masing gagal daftar di MySejahtera dan ingkar perintah kuarantin.

"Selebihnya kerana menaiki kenderaan melebihi kapasiti dibenarkan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.