• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Langkah Segera Diambil Selesai Isu ‘Tol’ Pulau Kapas

MARANG, 7 September - Kerajaan negeri telah mengambil langkah segera bagi menyelesaikan aduan pelancong berhubung isu ‘tol’ atau bayaran berganda di beberapa kaunter sebelum dibenar masuk ke Pulau Kapas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya mengambil maklum rintihan rakyat yang berbangkit di media sosial.

Katanya, sebarang kesulitan dan birokrasi akan diatasi secara berhemah dan tidak membebankan pelbagai pihak termasuk pemegang taruh yang mempunyai kepentingan berkaitan Pulau Kapas.

“Perjumpaan dengan pemegang taruh telah berjalan di Majlis Daerah Marang dan perbincangan berlangsung secara harmoni.

“Saya ambil maklum soal harga tiket bot dan pembayaran 'fee' yang dicajkan dan setiap jalan penyelesaian akan dipermudahkan agar pengunjung tidak terbeban,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Razali dan Timbalannya, Sulaiman Sulong berbincang bersama Majlis Daerah marang bagi menyelesaikan isu itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan, setiap permasalahan prasarana seperti caj tempat letak kereta, penyediaan letak kenderaan yang tidak mencukupi serta tandas rosak dan tidak bersih akan diberi perhatian.

“Begitu juga dengan fasiliti pulau yang perlu diperbaiki dan dinaik taraf serta tahap keselamatan akan diambil perhatian utama dan khusus.

“Saya akan berhubung dengan kementerian berkaitan di Kerajaan Persekutuan untuk berbincang lebih lanjut serta langkah susulan terbaik dicapai kelak,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada pengunjung kerana memilih Pulau Kapas untuk datang bercuti dan beriadah bersama keluarga serta prihatin dalam menambah nilai fasiliti sedia ada.


Tag: