• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lapan Kes Omicron Dikesan Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Sebanyak lapan kes varian Omicron dikesan di negeri ini sehingga semalam membabitkan individu yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasmani Embong berkata kesemua individu dikesan melalui ujian saringan reaksi rantai polimerase (PCR) di Pintu Masuk Antarabangsa yang dijalankan selepas ketibaan mereka.

“Dari jumlah tersebut, dua kes melibatkan jemaah dari Dungun, Kuala Terengganu (2), Besut (2), Kemaman (1) dan Kuala Nerus (1).

“Mereka yang dijangkiti Covid-19 varian Omicron berada bergejala ringan iaitu kategori satu dan dua sahaja serta telah menerima  vaksin lengkap. Setakat ini tidak berlaku kluster dan perebakan di kalangan ahli keluarga,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sidang Media Tangkapan Penjualan Sijil Vaksinasi di Bilik Mesyuarat IPK Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Tambah beliau, seorang wanita dari Kuala Nerus menjadi individu pertama di Terengganu  yang dijangkiti varian Omicron.

Dr Kasemani berkata, jangkitan direkodkan selepas wanita berkenaan pulang daripada mengerjakan umrah, baru-baru ini.

“Kes pertama varian itu dikesan selepas pengesahan dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi ujian saringan PCR yang dijalankan IMR terhadap wanita terbabit dan disahkan positif COVID-19 varian Omicron serta menjalani isolasi di rumah,”katanya.