• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Larangan' Berbuka Di Masjid : Rakyat Jangan Keliru

KUALA TERENGGANU, 13 April - Orang ramai dinasihatkan agar tidak terkeliru dengan 'larangan' mengadakan majlis jamuan berbuka puasa, moreh serta sahur di masjid dan surau di negeri ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad menegaskan, perkara yang tidak dibenarkan adalah jamuan berbuka, moreh dan sahur dengan cara hidangan seperti diamalkan sebelum-sebelum ini.

Sebaliknya beliau menjelaskan, penyediaan makanan secara bungkusan untuk tiga aktiviti itu boleh dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Ahli Jawatankuasa masjid dan surau atau orang perseorangan boleh sedia juadah untuk iftar, moreh dan sahur secara bungkus, yang pasti tidak boleh jamuan secara hidang.

"Garis panduan pematuhan SOP aktiviti sepanjang bulan Ramadan termasuk majlis berbuka puasa sudah diedarkan kepada jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Tambah Mat Azmi, jawatankuasa masjid dan surau diminta menyediakan kurma serta air mineral bagi membolehkan jemaah yang datang awal untuk menunaikan solat magrib berjemaah berbuka puasa.


Tag: