• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Larian Ultron Catat ‘Malaysia Book Of Records’

Peserta kanak-kanak turut mencuri tumpuan dalam acara larian tahun baharu.
KUALA TERENGGANU, 18 Januari - Penganjuran Larian Tahun Baharu 2020 Ultron di sini hari ini, turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Program julung-julung kalinya diadakan di Dataran Drawbridge itu tersenarai sebagai penyertaan acara larian serentak tertinggi yang melibatkan sembilan buah negeri di seluruh Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan terhadap penganjuran program sukan selagi mana ia berjalan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.

“Sebagaimana kita sedia maklum, Terengganu merupakan negeri yang cukup kuat dalam pelbagai jenis sukan, melalui program ini sudah pasti ia mampu memberi kelebihan pada kita untuk terus kuasai bidang ini.

“Sementara itu, aktiviti ini bukan sahaja dapat menjaga kesihatan dan kecergasan tetapi turut mencetuskan suasana harmoni dalam masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Wan Sukairi Wan Abdullah.
Mengulas tentang garis panduan terbaharu, beliau berkata, perkara itu dijangka akan dirasmi dan dilancarkan dalam masa terdekat oleh Menteri Besar Terengganu.

“Ia meliputi semua segmen di Terengganu termasuk sukan, hiburan dan pelancongan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, seramai 1,325 peserta dari seluruh negeri menyertai acara yang bermula jam 7.00 pagi dan ia juga melibatkan peserta termuda berumur empat tahun serta Orang Kurang Upaya (OKU).

Peserta OKU yang menghangatkan lagi program.


Tag: