lightning-solid
Berita :
Laut Bergelora Bukan Halangan, 40 Unjam Komuniti Dilabuh Di Rantau Abang
Laut Bergelora Bukan Halangan, 40 Unjam Komuniti Dilabuh Di Rantau Abang
Hidayah Azlin
4 jam yang lepas
47

DUNGUN, 30 Ogos – Biarpun berdepan cabaran angin kuat dan laut bergelora, usaha memperkasakan sektor perikanan tempatan menerusi pembinaan habitat hidupan laut diteruskan demi kelangsungan pendapatan nelayan kecil.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, sebanyak 40 unjam komuniti telah berjaya dilabuhkan di perairan Rantau Abang, dekat sini, semalam.

Menurut beliau, lokasi penempatan unjam berkenaan terletak kira-kira lima kilometer dari garis pantai Rantau Abang.

“Tiupan Angin Tenggara menjadikan Laut Dungun agak bergelora pagi ini. Walau gelora melanda, amanah ini perlu disempurnakan dengan tenang.

“Oleh kerana arus di kawasan ini agak kuat, setiap unjam telah diikat dengan dua pemberat konkrit bagi memastikan ia kekal stabil di dasar laut,” katanya selepas selesai Program Melabuh Unjam Terengganu di Perairan Dungun.

Mengulas lanjut, Dr Azman menyifatkan inisiatif melabuhkan unjam komuniti tersebut sebagai langkah berterusan kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam memelihara ekosistem marin serta membiakkan sumber perikanan kawasan pesisir pantai.

Projek penempatan unjam berkenaan turut mendapat kerjasama erat daripada pelbagai agensi negeri dan Persekutuan serta pimpinan setempat.

Dalam pada itu, Dr Azman turut mengingatkan komuniti tempatan agar menjaga dan memanfaatkan kemudahan tersebut secara bersama tanpa sebarang unsur monopoli.

“Pok Cik Man tinggalkan semua unjam ini sebagai amanah untuk dijaga oleh adik kakak kita di Dungun. Pakat guna sama-sama, jangan monopoli sebagai hak peribadi.

“Jangan potong pelampung bawa balik rumah, jangan likung dengan pukat jerut dan jangan tahan bubu dekat unjam. Nelayan dan pemancing rekreasi semua layak untuk ambil manfaat,” tegas beliau.


Hadir sama menjayakan program berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka serta Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Terengganu, Mohd Zamani Ab Ghani.

Beliau turut menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam memastikan program melabuh unjam berkenaan berjalan lancar.


Tag :

Artikel Berkaitan