• 13 Nov 2024 | 11 Jamadil Awal 1446

Agih Lebih 1 Juta Liter Air Sehari, Minimakan Beban Rakyat

KUALA NERUS, 5 September - Lebih 1 juta liter air sehari dianggarkan purata harian pengagihan air di kawasan paling terjejas yang dijalankan oleh para petugas di Pusat Gerakan Misi Bantuan Air di Tepoh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, angka tersebut berdasarkan kerja harian melalui 15 pacuan empat roda dan tujuh trak air yang berperanan mengisi semula air di 170 tangki statik dan di rumah-rumah terjejas.

“Pasukan kami di pusat operasi bertindak sebagai sokongan kepada kerja utama dijalankan Syarikat Air Terengganu (SATU), walaupun tidak melangkaui mereka namun kita masih gerakkan inisiatif konsisten melalui Team Mobile dan hantar bekalan ke kampung-kampung terjejas.

“Objektif kami adalah mengurangkan sebaik mungkin beban rakyat, walaupun mustahil untuk menghilangkan rasa terkilan segelintir masyarakat namun operasi harian sehingga lewat 2 pagi tidak terhenti,” katanya ketika ditemu bual pemberita di Dewan Serbaguna Tepoh, semalam.

Tambahnya, pihaknya menerima lebih 100 permohonan melalui penyediaan talian hotline bagi memudahkan kerja penghantaran kepada golongan uzur, warga emas dan kuarantin.

“Ini antara pelbagai usaha dijalankan pihak kami sejak bermulanya krisis ini, paling penting adalah kami mempermudahkan beban rakyat,” katanya lagi.

Untuk pengetahuan, kawasan DUN Tepoh merupakan kawasan paling terjejas dengan jumlah rumah tertinggi sebanyak 10,687 buah diikuti Batu Rakit dengan 8,438 buah.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September depan.