• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lebih 100 Peserta Jayakan ‘Bidong Beach And Sea Cleanup 2023’

KUALA NERUS, 13 Jun- Lebih 100 peserta menjayakan program ‘Bidong Beach And Sea Cleanup 2023’ anjuran Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT) dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, di pesisir pulau tersebut, kelmarin. 

Antara yang mengambil bahagian dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kedua-dua jabatan itu termasuk kakitangan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Pejabat Daerah Setiu, Pejabat Perhilitan Negeri Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pengarah MPTNT, YM Tengku Mohd Arifin Tengku A.Rahman berkata, aktiviti berkenaan dilakukan sebagai usaha untuk meningkatkan semangat kesukarelawanan antara penjawat awam Kerajaan Terengganu, Pihak Berkuasa Tempatan serta warga universiti. 

Tambah beliau, pada masa sama inisiatif berkenaan juga selari dengan kesedaran MPTNT terhadap kelestarian alam sekitar.

“Aktiviti pembersihan itu membabitkan kawasan sekitar pantai Pulau Bidong sehingga ke tapak peninggalan pelarian Vietnam dan kawasan dasar laut meliputi Projek ‘First Asean Underwater Mini Landmark‘ (AUMIL), " katanya

Katanya, Pulau Bidong yang terletak di Terengganu mempunyai pemandangan yang cukup indah dan sesuai dijadikan sebagai lokasi pilihan untuk individu yang mahu menikmati keindahan alam semula jadi.

“Selain itu, ia juga amat terkenal dalam kalangan pencinta sejarah yang mahu melihat sendiri tapak peninggalan orang hanyut Vietnam yang menghuni pulau berkenaan pada Ogos 1978 hingga 1991,” jelasnya.