• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Lebih 1,000 Kapit Beras Diagihkan Kepada Penduduk

KUALA NERUS, 20 November - Lebih 1000 kampit beras telah diagihkan kepada golongan terkandas akibat banjir dan Covid-19 sejak awal bulan Oktober yang lepas. 

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beras itu dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus bagi menjaga kebajikan mereka yang berada dalam kesusahan.

Katanya, program itu akan dilaksanakan setiap masa sehingga berakhirnya musim tengkujuh dan wabak Covid-19. 

“Kita sentiasa mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik dan hidup dalam kesusahan dengan memberi bantuan samaada dalam bentuk barang keperluan atau kewangan.

“Saya mahu rezeki ini dikongsi bersama golongan miskin untuk membantu mengurangkan kos sara hidup,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang diwakili Setiausaha Politiknya, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin, mengagihkan beras dan keperluan dapur yang lain pada satu majlis di Surau Kampung Banggol Tok Esah, di sini, pagi tadi.

Sementara itu, Ustaz Kamal Nazmi berkata, dianggarkan lebih daripada 2000 asnaf yang tinggal di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Buluh Gading, Tepoh, Bukit Tunggal dan Seberang Takir.

“Ini adalah salah satu usaha dari Dato' Dr Khairuddin yang julung kali  diadakan tahun ini bagi memberi sinar harapan kepada golongan asnaf supaya kehidupan mereka mendapat pembelaan.

"Dari masa ke semasa pihak kami akan menambah bilangan beras dan yang terbaru kita akan usahakan juga agihan minyak kelapa sawit kepada golongan yang memerlukan,"ujarnya.