• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Lebih 10,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan Festival Kebudayaan Terengganu

KUALA NERUS, 22 Ogos- Lebih 10,000 pengunjung tempatan dijangka hadir memeriahkan Festival Kebudayaan Terengganu 2020 yang akan diadakan di enam lokasi terpilih sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus bermula  27 Ogos sehingga 6 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, penganjuran festival tersebut merupakan cetusan baharu untuk mengumpul dan menghimpunkan kesemua seni budaya warisan negeri.

"Terengganu lazimnya dikenali kerana pulau dan pantainya yang cantik, tetapi sebenarnya  negeri ini memiliki khazanah seni warisan budaya yang amat tinggi nilainya.

 "Dalam usaha mempromosi produk seni budaya warisan Terengganu, festival ini diharap dapat membawa kembali kegemilangan, kebudayaan dan warisan seperti senibina, masakan tradisional, tarian tradisional, dan sebagainya. 

"Ciri-ciri ini telah lama hilang ditelan zaman sehingga kian dilupakan masyarakat setempat apatah lagi pelancong asing," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kursus Kampung Budaya di Quinara Al Safir Resort, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharum Tun Abdul Razak.

Katanya, Festival Kebudayaan Terengganu juga dapat dijadikan platform dalam mengetengahkan dan memperkenalkan kebudayaan, kesenian dan warisan yang ada di Terengganu kepada dunia.

"Selain memartabatkan seni warisan budaya, kita juga mahu generasi sekarang dan akan datang supaya kenal, dan tahu erti menilai khazanah kesenian dan kebudayaan yang kita ada ini agar ianya tidak ditelan zaman," ujarnya.

Ariffin berkata, kebanyakan program atau aktiviti sempena festival berkenaan adakan di beberapa lokasi di Kuala Terengganu.

"Kita ingin menjadikan Bandaraya Kuala Terengganu ini sebagai hub pelancongan kepada pelancong, baik dari dalam negeri, luar negeri ataupun dari luar negara.

"Di samping mereka berkunjung ke Terengganu, mereka berkesempatan untuk singgah dan turut serta dalam festival yang julung kali diadakan dalam skala yang besar ini dan jarak untuk satu lokasi ke lokasi yang lain tidak jauh," katanya.

Katanya, enam lokasi terbabit akan menonjolkan seni budaya warisan negeri dengan tema yang berlainan. 

 "Sebagai contoh, Primula Beach Hotel berkonsepkan Perkampungan Nelayan, justeru pengunjung akan disajikan dengan pameran nelayan berkolek, pertunjukkan kebudayaan, bicara kebudayaan, dan juga seni kraf Terengganu.

"Permai Hotel (wau sobek), Warisan Sari (alunan gamelan sari), Paya Bunga Square & Hotel (flying gasing), Terradala (caritera langkasuka) dan di Duyong Marina & Resort (cerita duyong)," ujarnya.


Tag: