• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Lebih 11,000 Mangsa Banjir Dipindahkan Sehingga Malam Ini

KUALA TERENGGANU, 7 Januari- Situasi banjir di Terengganu semakin buruk apabila 11,898 mangsa daripada 2,987 dipindahkan ke 50 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 10 malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman mencatat bilangan paling ramai iaitu 10,153 mangsa daripada 2,469 keluarga.

"Air mula memenuhi bandar Chukai dengan lebih 10,000 mangsa dipindahkan ke PPS di daerah berkenaan.

"Kebanyakan jalan di bandar itu juga mula ditutup kepada kenderaan ringan sejak jam 7 malam tadi dan peniaga mula memindahkan barang berikutan bimbang kemungkinan berlaku kenaikan air secara mendadak lewat malam ini jika hujan lebat," ujarnya.

Katanya, banjir di Terengganu kini melibatkan empat daerah iaitu Kemaman, Dungun (1,405 mangsa), Hulu Terengganu (228 mangsa), dan Besut (112 mangsa).

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Dungun dan Kemaman sehingga 12 Januari ini.