• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Lebih 150 Pengusaha Nanas Terima Bantuan RM1.89 Juta

SETIU, 12 Januari – Sehingga kini, kerajaan menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah menyalurkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) sebanyak RM1.89 juta kepada lebih 150 petani nanas di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia meliputi peruntukan RM328,555 melibatkan insentif bantuan dan peralatan seperti set mesin pam semburan serta insentif lori pengangkut.

Katanya, pembangunan tanaman nanas telah menerima peruntukan berjumlah RM1.5 juta dibawah skop Projek Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi serta lain-lain peruntukan, melibatkan ladang kontrak serta industri kecil dan sederhana.

“Sektor nanas merupakan salah satu daripada fokus kita dalam Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023 dalam menjadikan kita sebagai negeri pengeluar makanan utama di negara.

“Kita telah mengorak langkah dalam penanaman segmen pertanian ini kearah skala lebih komersial, antaranya projek tanaman nanas MD2 di tanah terbiar seluas 350 ekar di Kampung Pak Kancil di sini bakal memberi pulangan sebanyak RM14.4 juta pada Februari 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Nanas Kepada Pengusaha Nanas Terengganu di Lembaga Perindustrian Nanas, Sg. Tong, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh, Terengganu mempunyai potensi besar bagi perluaskan kawasan tanaman nanas yang pada ketika ini sudahpun mencecah 300 hektar.

“Antara kawasan penanaman utama nenas adalah terletak di daerah Setiu, Besut, Hulu Terengganu dan Kemaman.

“Tumpuan pastinya terhadap tanaman nanas varieti premium seperti MD2 untuk pasaran tempatan dan juga eksport,” jelasnya.

PRE Prihatin Pengusaha Nanas merupakan satu peruntukan tambahan kepada LPNM melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan MAFI yang di salurkan pada pertengahan 2020, bertujuan merangsang ekonomi sektor industri nanas disebabkan pandemik Covid-19.