• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lebih 19 Ribu Warga Emas Terima RM300 Akhir Bulan Ini

KUALA TERENGGANU, 15 November – Kerajaan Negeri bakal merealisasikan satu lagi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan menyalurkan Pemberian Pencen Rakyat Warga Emas kepada 19,230 orang penerima pada 21 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pelaksanaan manifesto itu pada tahun ini hanya melibatkan suku kedua, bermula Jun sehingga Disember atau sebanyak RM300.

“Pada tahun 2022, kerajaan meluluskan RM13 juta bagi menampung lebih ramai penerima dengan jumlah sebanyak RM600 seorang.

“Lebih 19 ribu penerima adalah hasil daripada 20,560 ribu permohonan diperoleh pada 31 Disember tahun lepas.

“Antara syaratnya adalah warga emas berusia 60 tahun yang bukan penerima pencen dan bantuan daripada agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemu bual Urus setia Penerangan Darul Iman, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mengumumkan Pusat Integrasi Sosial Warga Emas (PISWE) serta pusat jagaan harian warga emas muslimah, Baitul Ummi peruntukan sebanyak RM500 ribu, bagi membela nasib warga sasar tersebut.