• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Lebih 30 Buah Rumah Dilanda Ribut

Oleh: Shahril Aswad

HULU TERENGGANU, 7 Julai- Lebih 30 buah rumah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong rosak akibat dilanda ribut yang berlaku kira-kira pukul 6:30 petang semalam.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata, bantuan dan tindakan segera akan diambil untuk membantu meringankan beban penduduk yang terlibat dengan bencana itu.

“Kita sempat meninjau beberapa rumah yang terlibat dengan ribut kencang yang berlaku lewat petang semalam dan kita dimaklumkan lebih 30 buah rumah mengalami kerosakan atap.

“InsyaAllah kita akan bagi khidmat yang terbaik untuk rakyat khususnya di DUN Telemong ini.

"Kita turut mengarahkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) supaya terus memantau jika masih terdapat rumah yang dilanda ribut bagi memastikan rumah yang ditimpa bencana ini tidak terlepas pandang,” ujarnya ketika dihubungi pemberita.

Menurut beliau, antara kampung yang terkesan teruk ialah Kampung Kuala Dura, Pasir Nering, Pauh dan beberapa buah kampung lagi.

“Kebanyakan kampung yang terlibat ialah di Mukim Jenagor dan yang paling teruk Kampung Kuala Dura sebanyak 10 buah rumah disusuli Kampung Pasir Nering, Kampung Pauh dan kampung disekitarnya,” ujarnya.


Tag: