• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Lebih 30 Kerbau Syukor 'Kampung Boy' Mati Mengejut

KUALA TERENGGANU, 14 September - Lebih 30 ekor kerbau milik keluarga ‘Mowgli Malaysia’, Mohd Syukor Khamis di Kampung Banggol Katong di sini mati mengejut dipercayai akibat wabak hawar berdarah.

Syukor, 15, yang masih terkejut dan sedih dengan musibah itu walau bagaimanapun redha dan menyifatkan ia adalah ujian buat dirinya.

Katanya, dia mula menyedari kejadian itu selepas diberitahu ayahnya, Khamis Jusoh, 64, pada Rabu lalu tentang seekor kerbau yang dijaganya mati.

"Pada mulanya saya ingat ia hanya sakit-sakit biasa, tetapi apabila dari hari ke hari bilangan yang mati meningkat ia membuatkan saya berasa pelik.

"Seekor lagi yang mati sebelum dua ekor pada Jumaat, empat ekor pada Sabtu dan 11 ekor pada Ahad. Hari ini sahaja 10 ekor mati dan dijangka lebih lima ekor lagi yang akan mati kerana sebab yang sama," katanya ketika ditemui di kandang kerbau keluarganya di sini, hari ini.

Menurut Syukur,  ayahnya paling sedih dengan kejadian itu kerana pertama kali berlaku dan dibimbangi semua kerbau akan mati.

"Kerbau kesayangan saya, Samek dan Along setakat ini masih dalam keadaan baik dan sudah disuntik vaksin semalam," katanya.

Dalam pada itu, Khamis memberitahu, nilai kerugian dianggarkan sekitar RM200,000 susulan kematian lebih 30 kerbau itu.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu sudah datang dan sedang menyiasat punca kematian.

"Ia disyaki mengalami penyakit hawar berdarah berdasarkan simptom-simpto. yang dialami. Keputusan terhadap kematian kerbau ini akan diperoleh dua minggu lagi," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPV Terengganu, Dr Termizi Ghazali ketika dihubungi berkata, Program Penvaksinan Tahun 2020 telah dijalankan secara berperingkat sejak Februari lalu.

Katanya, ia dilaksanakan di kawasan 'hotspot' wabak bagi mengekang virus seperti itu terus menular di seluruh negeri.

"Terbaru kita laksanakan program itu bermula 30 Ogos melibatkan 12 kampung, 106 orang, 675 ekor lembu dan 58 ekor kerbau," katanya.


Tag: