• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Lebih 300 Peserta Meriahkan Kalang Warisan Explore Ride

KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Lebih 300 peminat sukan berbasikal menyertai Kalang Warisan Explore Ride anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Persatuan Belia Pemanis bersama TAC Outdoor bertemakan ‘Go Healthy Go Heritage’.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, kayuhan 40 kilometer yang bermula di Kalang Warisan itu menjadi satu lagi tarikan dalam mengetengahkan destinasi terbabit yang semakin dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan berasaskan komuniti.

Katanya, ia juga mampu mempromosikan produk-produk pelancongan sedia ada di Kampung Pulau Manis, Serada.

 
"Kawasan ini bukan sahaja mempunyai keunikan warisan seperti kraftangan batik, malah kaya dengan penceritaan sejarah berkaitan dengan produk islamik seperti makam Tok Pulau Manis atau Syeikh Abdul Malik Abdullah dan pelbagai produk berasaskan pelancongan agro seperti kebun duku asli Terengganu.

"Musim tengkujuh di Terengganu tidak merencatkan aktiviti pelancongan di negeri ini, kerana pelbagai program pelancongan masih boleh dianjurkan dan dilawati pada musim monsun seperti Program Kalang Warisan Explore Ride ini.


"Program ini hanya sebahagian daripada usaha yang digerakkan oleh komuniti sendiri untuk memajukan lagi kawasan ini, selain daripada melakukan riadah berbasikal secara sihat, peserta juga secara tidak langsung berpeluang menikmati keunikan produk pelancongan serta keindahan Kalang Warisan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, kejayaan menaikkan Kalang Warisan sebagai sebuah lagi destinasi baharu bagi percutian keluarga juga adalah hasil kerjasama dan kreativiti penduduk kampung.

"Ini secara tidak langsung memberi limpahan ekonomi buat penduduk setempat menerusi aktiviti pelancongan yang berasaskan komuniti," tambah beliau.
 


Tag: