Berita :
 Lebih 370 Sukarelawan Bersihkan Sisa Marin di Pantai Beting Lintang
Lebih 370 Sukarelawan Bersihkan Sisa Marin di Pantai Beting Lintang
Mastura Jamal Din
1 hari yang lepas
41

BESUT, 15 Jun – Lambakan sisa marin dan longgokan sampah yang terkumpul di pesisir Pantai Beting Lintang terus menjadi cabaran alam sekitar yang memerlukan tindakan berterusan daripada pelbagai pihak.

Menyedari keadaan itu, Program Transformasi Persekitaran Melestarikan Khazanah Pantai Kampung Beting Lintang telah dilaksanakan dengan penyertaan lebih 372 sukarelawan yang berganding bahu membersihkan kawasan pantai berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, walaupun kawasan pantai itu tidak menerima kehadiran pengunjung yang ramai, sisa sampah yang dihanyutkan dari laut lepas tetap terkumpul di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dengan panjang garis pantai Negeri Terengganu yang mencecah kira-kira 244 kilometer, kajian dan tindakan jangka panjang perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti punca utama pengumpulan sisa marin yang berlaku khususnya di Pantai Beting Lintang.

“Isu lambakan sampah marin ini bukan sahaja menjejaskan keindahan pantai, malah boleh memberi kesan kepada ekosistem hidupan laut sekiranya tidak ditangani secara berterusan.

“Justeru, program seperti ini amat penting dalam usaha memulihkan semula persekitaran pantai di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar,” katanya.

Program itu melibatkan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi termasuk Majlis Daerah Besut (MDB), Geng Plastik Ija (GPI), Sekolah Kebangsaan Beting Lintang, Kolej Vokasional, Kolej Komuniti, ahli majlis serta komuniti Kampung Beting Lintang.

Beliau berkata, kerjasama erat antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan masyarakat setempat menjadi faktor penting dalam menjayakan usaha pemuliharaan kawasan pantai tersebut.

“Usaha ini merupakan satu sumbangan bermakna untuk mengembalikan keindahan pantai dan pada masa sama melindungi khazanah alam serta ekosistem marin untuk generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan yang terlibat dan berharap program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berteraskan komuniti seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Semoga usaha seperti ini terus menyuburkan kesedaran masyarakat setempat untuk sama-sama memelihara kebersihan pantai warisan kita,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan