• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lebih 400 Pelita Terangi Malam Raya Keluarga Zamani

KUALA NERUS, 13 Mei – Budaya malam pelita raya bagi menghidupkan suasana Aidilfitri diteruskan dengan rekaan tersendiri oleh sebuah keluarga di Kampung Padang Air.

Menurut Mohammad Zamani Harun, 45, lebih 400 pelita digunakan dengan reka bentuk unik menerangi kawasan rumahnya.

“Kos minyak kira-kira RM80 sehari, ia digunakan kerana harganya lebih murah berbanding minyak tanah.

“Setakat ini kami membelanjakan lebih RM500 untuk minyak diesel, pelita besi dan menggunakan kayu buluh untuk dijadikan pelita.

“Dengan adik beradik yang tinggal berdekatan disini, jadi ia memeriahkan dan memudahkan aktiviti menghiaskan sekeliling kediaman,” katanya ketika ditemubual pemberita.

Tambahnya, penggunaan buluh sebagai pelita raya turut menjimatkan kos berbanding membeli pelita biasa namun cabarannya datang daripada mencari saiz yang sesuai.

Sementara itu, Zamani turut mencetuskan idea untuk membina replika kapal selam KRI Nanggala 402 yang karam di Indonesia baru-baru ini sebagai tanda mengingati pengorbanan mereka.

“Untuk memasang rekaan kapal selam itu pula memakan masa sehari, namun usaha itu berbaloi kerana ramai datang berkunjung untuk bergambar.

“Tahun lepas juga kita jadikan kereta using sebagai tarikan, ini adalah amalan tradisi keluarga yang diteruskan walaupun dalam norma baharu serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun hari raya disambut secara sederhana, aktiviti sebegini menaikkan semangat Aidilfitri dan eratkan hubungan kami sekeluarga," jelas Zamani.