Berita :
Lebih 5,000 Meriahkan Bersamamu Rakyat DUN Air Putih
Lebih 5,000 Meriahkan Bersamamu Rakyat DUN Air Putih
Ridhwan Balian
1 hari yang lepas
81

KEMAMAN, 13 Mei– Program Bersamamu Rakyat DUN Air Putih 2026 yang berlangsung di Masjid Jamek Bandar Cheneh Baharu mencatat kehadiran luar biasa apabila berjaya menghimpunkan lebih 5,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.

Program berteraskan konsep “Indahnya Hidup Bersyariat” itu dianjurkan di kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat serta penduduk sekitar.

Program yang berlangsung pada 8 hingga 9 Mei itu dimulakan dengan Pra Bersamamu Rakyat menerusi Kuliah Maghrib disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi sebelum diteruskan dengan pelbagai pengisian berbentuk kerohanian, kemasyarakatan dan kekeluargaan.

Mohd Hafiz berkata, kehadiran ribuan pengunjung membuktikan hubungan erat antara rakyat dan kepimpinan selain menunjukkan sokongan masyarakat terhadap program berunsurkan syariat dan kebersamaan komuniti.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat luar biasa. Kehadiran masyarakat dari pelbagai peringkat usia memberi semangat kepada kami untuk terus mendekati rakyat melalui program sebegini,” katanya.

Seawal pagi, orang ramai mula membanjiri lokasi program bagi memeriahkan Pasar Berkat, Pameran Agensi dan Mini Zoo selain mengikuti Kuliah Dhuha oleh Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang.

Majlis kemudiannya dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk ziarah kebajikan, program wanita dan belia, pertandingan rakyat serta aktiviti kanak-kanak yang menyemarakkan suasana sepanjang program berlangsung.

Pada sebelah malam pula, program diimarahkan dengan Mahrajan Al-Quran menampilkan Ustaz Aiman Ridwan Mohamad Ramlan, Johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa 2025 yang berjaya menarik perhatian ramai pengunjung.


Ketupat

Artikel Berkaitan