• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Lebih 552 Peserta Bakal Tawan Gunung Tebu

KUALA TERENGGANU, 29 September – Lebih 552 Peserta Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC’22) bakal menawan puncak Gunung Tebu pada 1 Oktober 2022 di Hutan Lipur Lata Belatan, Besut, Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata acara itu bertujuan bagi menggerakkan peranan Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang telah dijayakan tahun ini di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Katanya, semua individu yang mahu mendaki lima gunung di Terengganu akan diwajibkan menggunakan khidmat malim gunung perhutanan (MGP) untuk memastikan pendakian mereka berjalan dengan selamat.

“Lima gunung tersebut ialah Gunung Sarut di Setiu, Gunung Tebu di Besut serta Gunung Chemerong, Berembun dan Langsir (CBL) di Dungun, Gunung Bukit Tangga di Besut dan Bukit Baik di Dungun.

“Hanya lima gunung tersebut yang diwajibkan penggunaan khidmat MGP memandangkan aktiviti pendakian di situ mendapat permintaan tertinggi dari peminat aktiviti lasak di Terengganu," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sidang Media dan Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge bertempat di Bilik Rehat Khas Aras Bawah, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mengulas lanjut berkenaan program, penganjuran MTCC’22 ini akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku contohnya fenomena kepala air dan sebagainya.

“MTCC'22 yang akan berlangsung pada Sabtu ini menawarkan tiga kategori utama kepada peserta dengan jarak 15.6 kilometer serta hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM14,300," katanya.

Tambah Ariffin Deraman, kerajaan negeri sentiasa menyokong mana-mana pihak yang berminat menganjurkan aktiviti atau pertandingan termasuk di kawasan pergunungan untuk melonjakkan lagi industri pelancongan berasaskan sukan di Terengganu.

 


Tag: