• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Lebih 70 Peratus Kes Positif COVID-19 Berkait Rentas Negeri

KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Sebanyak 73.6 peratus kes positif COVID-19 di Terengganu sejak 7 Disember adalah melibatkan individu rentas negeri dari kawasan berisiko.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya mendapati kes melibatkan golongan itu meningkat selepas saringan ke atas individu yang memasuki Terengganu diperluas.

“Ramai yang didapati positif hasil rentas negeri, apabila mereka pulang ke kampung dan berjumpa dengan ahli keluarga, perkara ini berpotensi akan menyebarkan lagi wabak tersebut secara tidak sedar.

“Oleh itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meminta semua yang bergerak masuk ke Terengganu khususnya dari zon merah untuk menghubungi pihak berkaitan bagi penilaian risiko COVID-19.

“Saya juga ingin menyampaikan pesanan agar semua terus mengambil perhatian aspek keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) ILKKM, Terengganu di Kolej Kejurawatan, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi menyatakan, keseluruhan kes positif COVID-19 di Terengganu sejak awal penularan telah mencecah 455 kes sehingga 9 Januari 2021.

“112 kes sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Hospital Hulu Terengganu,” katanya lagi.

Tambah beliau, sehingga kini, tiada lagi rekod kes positif wabak melibatkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sama ada yang disahkan, disyaki atau bergejala.