• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lebih 70 Peratus Koperasi Di Terengganu Aktif

KUALA TERENGGANU, 21 September - Lebih 70 peratus atau 679 daripada 970 koperasi yang berdaftar di negeri ini bergerak aktif dan menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan gerakan koperasi negeri.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu, Awg Ruslli Mohammad berkata, terdapat kira-kira 270,000 ahli koperasi di seluruh negeri ini yang berpotensi besar merealisasikan hasrat kerajaan itu.

"Koperasi yang aktif ini memang ada aktiviti, di audit dan bermesyuarat setiap tahun, dalam masa yang sama SKM akan membantu dari segi bantuan dana dan pinjaman.

“Mereka ini terlibat dengan banyak aktiviti termasuk pelancongan, pertanian, peruncitan dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Terengganu Berhad Kali Ke-29 Dan Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Majlis perasmian mesyuarat agung tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, koperasi di negeri ini mempunyai potensi yang besar untuk terus berkembang terutamanya dalam sektor pertanian serta pelancongan.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau dimaklumkan bahawa pelbagai dana, geran serta pinjaman ditawarkan oleh SKM yang boleh dimanfaatkan oleh koperasi di negeri ini.

“Saya rasa sama juga di mana-mana negeri, koperasi ini ada yang aktif, kurang aktif dan ada yang hanya bergantung kepada pengurusan koperasi sahaja yang buat kerja.

“Ahli-ahli koperasi perlu beri pandangan dan cadangan, bukan sekadar bertemu sekali setahun dalam mesyuarat agung saja, supaya kita dapat cari jalan koperasi ini dapat terus diperkasa.

“Justeru, koperasi yang ada di Terengganu ini perlu merebut peluang kerana banyak dana-dana tertentu, geran yang disediakan di peringkat kementerian,” ujarnya.