• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Lebih 90 Peratus Guru Di Terengganu Sudah Divaksin

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos - Lebih 90 peratus warga pendidik di negeri ini selesai menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah sekiranya diumumkan kelak.

Pengarah Pendidikan negeri, Salim Abd Ghani berkata hampir semua guru menyambut baik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) seperti yang diarahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, Terengganu mempunyai 21,921 guru terdiri daripada 10,175 guru sekolah menengah manakala seramai 11,746 bagj sekolah rendah.

"Namun, saya tidak menafikan ada juga di kalangan guru-guru tersebut yang menolak untuk divaksin namun jumlahnya kecil.

"Pihak jabatan akan mengenalpasti guru guru berkenaan yang berkemungkinan bertindak demikian kerana mempunyai masalah kesihatan," katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Dalam perkembangan sama, Salim berkata, kesemua guru tingkatan lima dan enam di negeri ini termasuk kakitangan sokongan akan selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula Oktober depan.