• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lebih 93 Ribu Remaja Terengganu Layak Divaksin

KUALA TERENGGANU, 12 September – Seramai 93,262 remaja di negeri ini telah dikenalpasti layak untuk diberikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang akan dijalankan di sekolah-sekolah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, tarikh bagi pelaksanaan vaksinasi tersebut bergantung kepada petanda awalnya iaitu selepas kadar peratusan populasi dewasa lengkap divaksinasi mencapai 80 peratus pada minggu akhir bulan September.

“Keputusan kerajaan untuk melengkapkan pemberian vaksin dewasa terlebih dahulu, jika kita melepasi petanda 80 peratus itu, maka MOSTI akan berkomunikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan melancarkan gerak kerja seawal mungkin.

“Untuk makluman, Terengganu telah berjaya mencapai kadar peratusan vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa melebihi 66.73 peratus pada 10 September 2021. Sementara itu, lebih 90.03 peratus daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya dos satu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program vaksinasi ‘Outreach’ di Taman Desa Paloh, pagi tadi.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dato' Dr Kasemani Embong dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.

Tambahnya, berdasarkan pembentangan pemantauan pengedaran vaksin COVID-19 semasa Mesyuarat CITF, Terengganu bakal menerima bekalan vaksin sebanyak 643,187 ribu dos sepanjang bulan September ini.

Terdahulu, PICK akan memulakan vaksinasi mengikut keutamaan iaitu remaja (12 hingga 17 tahun) yang mempunyai masalah penyakit kronik, diikuti individu remaja (12 hingga 17 tahun) tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur, kata Menteri Penyelarasnya Khairy Jamaluddin.