10 Keluarga di Pulau Redang Terima Rumah Pemberian Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Sempena sambutan Bulan Hijab, kerajaan negeri menerusi Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) mengajak semua wanita menyertai Terengganu Hijab Day 2022 dan berpeluang merebut hadiah bernilai lebih RM10 ribu.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi USWa, program secara fizikal tersebut mempertandingkan tiga jenis acara pada hari kemuncak pada 12 Februari 2022, Sabtu, 2.30 petang bertempat di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.
"Penyertaan pertandingan Fashion Show terbuka kepada semua wanita berusia 18 hingga 40 tahun dan pakaian hendaklah bertemakan batik, menutup aurat dan patuh syariah.
"Tempat pertama yang memenangi akan mendapat hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM1,000, tempat kedua RM700, ketiga RM500 dan saguhati RM200 seramai 10 orang.
"Manakala peserta yang menyertai pertandingan video kreatif hendaklah mematuhi syarat-syarat ditetapkan antaranya mereka hendaklah like dan follow akaun rasmi facebook Terengganu Hijab Day serta tetapkan mod awam (public) akaun facebook anda," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, program tersebut hanya terbuka buat wanita warga Terengganu sahaja dan durasi video lebih kurang daripada tiga minit serta tema video ‘Sempurnakan Hijabmu'.
"Video mestilah mematuhi syariah dan setiap penyertaan yang dihantar akan menjadi hak milik penganjur manakala peserta diwajibkan untuk memuat naik video pertandingan di akaun facebook peserta dengan hastag #TerengganuHijabDay2022 #SempurnakanHijabmu #videokreatif dan tag page Terengganu Hijab Day.
"Like dan share terbanyak akan diambil kira dan penyertaan tidak akan diterima jika terdapat rakaman aurat yang terdedah serta keputusan pertandingan adalah muktamad.
"Pemenang tempat pertama RM700, kedua RM500 dan ketiga RM300 serta saguhati sebanyak rm100 seramai 10 peserta," katanya lagi.
Sementara itu, pihaknya turut menganjurkan pertandingan wefie bertemakan 'Sempurnakan Hijabmu' dan foto adalah secara individu atau berkumpulan serta mematuhi syariah.
"Penutupan aurat yang tidak sempurna, penyertaan akan ditolak dan tempat pertama akan mendapat RM300, kedua RM250 dan ketiga RM200 dan saguhati RM50 untuk pemenang 10 orang," jelasnya.