• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Lebih RM1.5 Bilion Diperuntuk, Selesai Masalah Saliran Terengganu

KUALA TERENGGANU,14 Mac - Lebih RM1.5 bilion diperuntukkan kerajaan untuk projek pembangunan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Terengganu menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan RMK-12.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada peruntukan tersebut, dianggarkan RM861 juta untuk projek pemuliharaan muara sungai yang melibatkan muara Sungai Paka, Sungai Besut, Sungai Ibai, Sungai Merchang, Sungai Setiu dan Sungai Dungun.

“Manakala RM105 juta untuk tujuan pengawalan hakisan Pantai Kuala Nerus dan Pantai Marang.

“Bagi projek tebatan banjir sebanyak RM442 juta diperuntukkan yang melibatkan Sungai Kemaman, Bukit Payung, Kemasik, Guntung Luar, Gong Kiat dan Kuala Terengganu Utara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman.

Sementara itu kata Tuan Ibrahim, projek ramalan dan amaran banjir fasa satu berjumlah RM 28 juta, melibatkan Lembangan Sungai Terengganu dan Lembangan Sungai Kelantan.

“Projek ramalan dan amaran banjir fasa dua sebanyak RM5.3 juta melibatkan seluruh Negeri Terengganu, pemuliharaan Sungai Cepuh berjumlah RM15 juta dan projek penyenggaraan kolam takungan banjir berjumlah RM4 juta,” ujarnya.

Katanya, diharapkan dengan kelulusan projek oleh kementerian yang melibatkan peruntukan agak besar ini dapat membantu mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan pemuliharaan sungai di Negeri Terengganu.
 


Tag: