• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lebih RM43.5 Juta Diperuntuk Bagi Sektor Pertanian Terengganu

SETIU, 23 Jun – Kerajaan pusat  melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah memperuntukkan lebih RM43.5 juta bagi merancakkan lagi sektor pertanian Terengganu sekali gus memajukan industri agromakanan di negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ia meliputi pelbagai projek, program dan inisiatif merentasi semua subsektor termasuk padi dan beras, perikanan, tanaman dan ternakan melalui agensi-agensi dibawah kementeriannya.

“Kerjasama yang padu dengan Kerajaan Negeri Terengganu akan diteruskan bagi melaksanakan inisiatif-insiatif yang dirancang dengan selain merancakkan lagi sektor pertanian di sini sekaligus memajukan sektor agromakanan Negeri Terengganu keseluruhannya,”ujarnya

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Hari Peladang, Penternak, dan nelayan Tahun 2022 Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Dataran Pekan Jabi, di sini hari ini. 

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri akan mengagihkan peruntukan berganda kepada sektor pertanian di negeri itu yang akan diumumkan pada Bajet 2023 akan datang. 

“Kita masih dalam perkiraan, sebenarnya kita belajar banyak perkara selepas kita keluar dari pandemik kepada fasa endemik.Oleh kerana itu kita sudah memberi komitmen bersama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, bagi bajet 2023 ini untuk tingkatkan peruntukan kepada sektor pertanian dan penternakan berbanding tahun sebelumnya,”ujarnya.

Katanya, perkara itu untuk menjamin kesejahteraan sosioekonomi golongan sasar serta memperkukuhkan sekuriti makanan negara di sepanjang rantaian nilai demi kesejahteraan Keluarga Malaysia dan pertumbuhan sektor agromakanan negara.