• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lebih RM6.2 Juta Diperuntuk Bagi Pencen Rakyat Tahun 2021

KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Kerajaan negeri memperuntukkan RM6,207,300 bagi bantuan pencen rakyat yang memanfaatkan 20,691 penerima pada tahun 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat, berkata penyerahan telah dilaksanakan di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Disember 2021 sehingga bulan Mei 2022. 

"Pembayaran pertama sebanyak RM300 bagi tempoh separuh tahun 2021 membabitkan 1,799 penerima dengan kos RM539,700, Kemaman 3,718 orang (RM1,115,400), Dungun 1,346 orang (RM403,800), Besut 2,798 orang (RM839,400).

"Bagi Hulu Terengganu pula 3,424 penerima (RM1,027,200), Marang 1,463 orang (RM438,900) manakala Setiu 2,809 orang (RM842,700) serta Kuala Nerus pula 340 orang (RM102,000)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada hari ini

Tambahnya, beliau menjangkakan berlaku penambahan peserta seramai 5,000 orang lagi pada tahun 2022.

Sementara itu menjawab soalan tambahan ADUN Sura, Hanafiah berkata program Pencen Rakyat akan terus dilaksanakan bagi tahun 2023.

"Agihan akan dilaksanakan menerusi kerjasama pejabat-pejabat daerah dan setiap Pusat Khidmat DUN pada bulan Oktober nanti," ujarnya.