Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
HULU TERENGGANU, 28 Mac – Seorang pemuda dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Rumah Rakit Cik Na, Jeram Harimau, Tasik Kenyir, Kuala Berang, Terengganu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata mangsa, Ami Azzizol Abu Bakri, 22, berasal dari Dungun dikatakan sedang bercuti bersama-sama isteri dan ahli keluarganya di rumah rakit berkenaan.
“Pihak Polis menerima maklumat pada pukul 6.20 petang semalam mengenai kejadian tersebut.
“Ketika kejadian, mangsa dikatakan berenang dari rumah rakit Cik Na ke dalam sungai Petuang di hadapan rumah rakit tersebut untuk mandi tanpa memakai jaket keselamatan.
“Tidak lama kemudian beberapa saksi termasuk isteri mangsa ternampak mangsa terkapai-kapai meminta tolong dipercayai mengalami kekejangan otot. Salah seorang saksi iaitu anak pemilik rumah rakit telah cuba memberi pertolongan namun hampir lemas kerana mangsa memaut belakang saksi yang cuba membantu. Mangsa terus tenggelam dan tidak dapat diselamatkan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Adli berkata seramai 46 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam menyertai operasi mencari mangsa yang sehingga kini masih belum ditemui.