• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Lelaki Ditembak Suspek Utama Kes Bunuh, Dadah

KUALA TERENGGANU, 7 April – Dua penjenayah yang maut ditembak polis di Wakaf Beruas kelmarin merupakan antara suspek kes pengedaran dadah yang dikehendaki di Terengganu.

Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dua identiti tersebut merupakan rakyat tempatan yang aktif menjalankan aktiviti pengedaran di beberapa daerah di sini termasuk sekitar kawasan FELDA.

“Suspek merupakan lelaki Melayu, berasal dari Kuala Terengganu dan Marang yang masing-masing mempunyai lapan dan 11 rekod kesalahan berkaitan dadah. 

“Sindiket ini dikesan aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah sejak 10 tahun lalu,” ujarnya dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini.

Rohaimi turut berkata, kes ini turut menyelesaikan kes seorang lelaki maut ditembak di Pasir Tinggi, Hulu Terengganu pada bulan lepas.

“Hasil siasatan mendapati mereka berdua juga merupakan suspek utama dalam kes tembak (di Pasir Tinggi) itu.

“Kita tidak menafikan bahawa kes tersebut juga mempunyai kaitan dengan dadah,” tambahnya kepada pemberita. 

Polis turut merampas dua pucuk pistol Revolver 38 dan beberapa butir peluru serta 20 peket dadah disyaki syabu seberat lebih 1,000 gram dan 14 botol kecil heroin (67 gram) dalam kereta suspek. 

Kelmarin, dua lelaki ditembak mati oleh polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang selepas suspek bertindak melarikan diri setelah diarah memberhentikan kenderaan.


Tag: