• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Cubaan Lelaki Larikan Diri Daripada Operasi Khalwat Gagal

KUALA NERUS, 27 Mei – Cubaan seorang lelaki melarikan diri bagi mengelak ditangkap Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) terbantut apabila dia menyerah diri selang beberapa minit selepas itu.

Penolong Ketua Operasi Penguatkuasaan Syariah Pejabat Agama Daerah (PAD) Kuala Nerus, Fadhlan Mohamad berkata lelaki itu disyaki melakukan kesalahan jenayah syariah ketika operasi khalwat JHEAT dan PAD Kuala Nerus baru-baru ini.

Katanya, sebanyak dua pasangan berjaya ditangkap dalam serbuan tersebut melibatkan lapan hotel yang diperiksa.

“Pasangan itu masing-masing mempunyai status janda dan lelaki kesemuanya status bujang.

“Operasi yang bermula pada jam 12 malam itu melibatkan lebih 20 orang anggota Penguatkuasa yang terdiri daripada JHEAT dan PAD Kuala Nerus,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Khalwat di Hotel-Hotel Sekitar Daerah Kuala Nerus di Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus di sini baru-baru ini.

Tambah Fadhlan, hotel-hotel yang diperiksa juga memberi kerjasama yang baik sepanjang operasi dijalankan.

Sementara itu, pola kes dalam Daerah Kuala Nerus ini juga menunjukkan perkembangan positif dari sudut pengurangan kes tangkapan.

“Hal ini kerana, timbulnya kesedaran atas usaha kekerapan penguatkuasa PAD Kuala Nerus melakukan operasi, pemantauan dan sebagainya dalam daerah berkenaan,” ujarnya.

Beliau berharap, agar kes tangkapan sentiasa berkurang sehingga mencapai angka sifar kes tangkapan khalwat dalam Daerah Kuala Nerus ini.


Tag: