• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Lemang Percuma Sambut Kepulangan Perantau

 

KEMAMAN, 20 April - Sebanyak 2,000 batang lemang dan keropok lekor diedarkan bagi menyambut kepulangan perantau petang tadi di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing. 

Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ab.Razak Ibrahim berkata, makanan tersebut diagihkan secara percuma kepada perantau yang pulang sempena sambutan Aidilfitri esok.

“Ini adalah kerjasama di antara Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Pusat Khidmat Masyarakat Dun Air Putih, Pejabat Daerah Kemaman bersama Syarikat LPT2 Sdn Bhd.

"Kita mahu menonjolkan dan memperkenalkan hentian R&R Perasing yang juga dikenali sebagai ‘Mini Kemaman’ di samping kita mempromosikan produk-produk makanan tempatan di Kemaman ini.

“Seperti yang kita ketahui, Kemaman terkenal dengan Lemang Kijal yang mempunyai identiti dan rasa tersendiri kerana ia merupakan antara makanan kegemaran ramai dan populariti Lemang Kijal masih tetap bertahan walaupun lebih daripada 20 tahun selain daripada mampu menggamit kunjungan pengguna laluan daripada Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa perbezaan suasana di R&R Perasing berbanding tahun yang lepas di mana lebih ramai pengunjung-pengunjung singgah berehat di sini. 

“Gerai-gerai  juga lebih banyak dibuka kerana berlakunya peningkatan pemintaan selepas kejayaan kita mempromosikan R&R Perasing,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selesai agihan tersebut berlangsung.

Turut terlibat dalam program antaranya PDRM, APM, JPJ, ARC dan Sukarelawan Kemaman.image widget


Tag: