• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Lembah Silika Terengganu Bakal Jana 7,200 Peluang Pekerjaan

 Tengku Hassan Tengku Omar.
KUALA TERENGGANU, 16 Disember - Projek pembangunan Lembah Silika Terengganu (TSV) di atas tapak seluas 4,000 hektar di Jambu Bongkok, Marang yang disasarkan mampu menarik pelaburan mencecah RM13 bilion dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2020 dan mampu menjana 7,200 pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kawasan ini dibangunkan khas oleh kerajaan untuk industri silika  dan para pelabur akan dibawa untuk membuka kilang-kilang yang membuat bahan-bahan daripada silika seperti gelas, baju dan sebagainya.

Jelasnya, industri silika merupakan satu industri baharu di Terengganu dan memerlukan syarat-syarat yang sesuai dengan mengambil kira kepentingan negeri dan juga rakyat.

“Kita akan menetapkan syarat kepada pelabur agar membina kilang di TSV bagi mewujudkan peluang kerja kepada rakyat tempatan dan silika mentah tidak boleh dibawa ke luar negara sebaliknya mesti digunakan untuk industri dalam negeri.

“Kita tidak benarkan eksport bahan mentah ke luar negara, paling kurang kena proses pasir silika di sini ke satu tahap yang boleh kita benarkan bawa keluar supaya peluang pekerjaan wujud dengan pembinaan kilang-kilang yang akan dibina.

“Mereka perlu faham apa yang mereka dapat jika kilang ini dibina dan kita sedang merangka satu dasar perusahaan silika untuk negeri Terengganu supaya pelabur faham kehendak kita dan kita faham kehendak mereka dan akhirnya memberi ‘win-win situation’ kepada kedua pihak,” katanya ketika ditemubual di ManisFm sempena Bicara Khas PASCA Bajet terengganu 2019, di sini, hari ini. 

Tambahnya, Terengganu mempunyai deposit silika di semua daerah kecuali Hulu Terengganu dan kerajaan negeri sedang menyediakan pelan induk TSV yang dijangka siap pada Januari depan untuk dibentangkan kepada pucuk pimpinan negeri.

“Kerajaan juga sedang menyediakan infrastruktur di sana dan telah menandatangani perjanjian dengan Petronas  bagi membina laluan paip untuk membawa gas ke TSV melalui Paka, Dungun ke Jambu Bongkok.

“Cuma terpaksa melalui proses pengambilan tanah, proses buat paip dan lain-lain yang memakan masa, kami jangka paling awal pun pelabur boleh bina kilang mereka seawal bulan September tahun 2020," ujarnya lagi.

Beliau juga berkata, pembangunan wilayah untuk membina penempatan baru sedang dirancang dan akan dilaksanakan sebagaimana yang disebutkan dalam manifeso kerajaan negeri secara beransur-ansur.




Tag: