• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Libatkan 30 Peratus Wanita Penggubal Dasar  Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus golongan wanita sebagai penggubal dasar dalam Kerajaan Negeri perlu disambut dan disokong oleh pelbagai pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata perlu ada persekitaran yang menyokong penglibatan wanita secara aktif, segala bentuk diskriminasi yang menghalang wanita berkecimpung dalam kepimpinan atau pun politik perlu dihalang di samping merancakkan program berbentuk latihan serta pendidikan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan dasar untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan di sektor awam pada tahun 2004 dan di sektor swasta pada tahun 2011. 

“Jawatan peringkat pembuat keputusan di sektor perkhidmatan awam di peringkat pusat, iaitu Gred Utama C dan ke atas yang dipegang oleh golongan wanita berjaya melebihi sasaran iaitu 38.2 peratus.

“Sebaliknya di Terengganu, golongan wanita yang memegang jawatan utama belum mencapai sasaran 30 peratus. Saya difahamkan ada syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) di Terengganu belum mempunyai wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

“Oleh itu, pendirian saya tetap konsisten untuk melihat penglibatan 30 peratus wanita sebagai penggubal dasar dalam pembangunan melalui bidang sosial di Terengganu,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini.

Zuraida juga berpandangan bahawa program kepekaan gender memainkan peranan penting dalam memberikan pemahaman berhubung kepentingan penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan, termasuk sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen.