• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Lima Kakitangan Positif COVID-19, Taska Permata Keluarga Kuala Terengganu Ditutup 14 Hari

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos- Taska Permata Keluarga Kuala Terengganu yang terletak di Jalan Sultan Omar ditutup sementara selama 14 hari bermula petang ini.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, penutupan taska terbabit sehingga 18 Ogos depan terpaksa dilakukan susulan lima kakitangan disahkan positif COVID-19.

"Di Taska Permata Keluarga Kuala Terengganu ada lima kakitangan yang disahkan positif COVID-19, empat daripadanya adalah tenaga pengajar dan seorang penyedia makanan.

"Susulan itu, seramai 17 orang guru dan 34 kanak-kanak di taska terbabit perlu menjalani swab test," ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Katanya, penutupan itu juga selaras dengan Notis Perintah Penutupan Premis Bagi Kawalan Perebakan Penyakit Berjangkit daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Katanya, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu akan mengambil tindakan dan langkah-langkah perlu selaras dengan arahan-arahan kerajaan yang berkuatkuasa. 

"Sehubungan dengan itu semua kakitangan di taska terbabit diarah bekerja dari rumah bermula hari ini (4 Ogos) hingga 18 Ogos ini.

"Ia bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan secara menyeluruh serta memastikan premis taska selamat diduduki," katanya.