• 21 Jan 2021 | 7 Jamadil Akhir 1442

Lima Masjid Di Terengganu Ditutup Sementara

KUALA TERENGGANU, 17 Januari - Lima masjid di daerah ini ditutup selama tiga hari bermula hari ini berikutan terdapat kes positif COVID-19 di Madrasatul Quran, Kubang Bujuk, yang mempunyai sejarah menunaikan solat di masjid terbabit.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, ia melibatkan Masjid Baru Serada, Masjid Banggol Katong, 
Masjid Al-Hidayah Banggol Mempelam, Masjid Beladau Selat dan Masjid Al Muttaqin Kepong.

Katanya, masjid tersebut ditutup sehingga 16 Januari (waktu Isyak) bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan nyahkuman selain mengelakkan perebakan penyakit berjangkit.

"Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu diharap mematuhi arahan kerja membasmi kuman di masjid-masjid berkenaan," ujarnya dalam satu kenyataan Khamis lalu.

Sehingga Khamis, Terengganu merekodkan 89 kes positif COVID-19. 

Daripada jumlah itu sebanyak 62 adalah kluster sedia ada, 21 saringan kontak rapat dan enam lain-lain saringan.