• 18 Jan 2022 | 14 Jamadil Akhir 1443

Lima Projek RMK-12 Mampu Rancakkan Sosioekonomi Terengganu

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Lima projek berskala besar melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan  diteruskan di Terengganu bagi mempercepatkan pembangunan sosioekonomi dan di negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mustapa Mohamed berkata, antara projek itu ialah Taman Industri Polimer di Kertih di samping Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu di Kemaman, Pemuliharaan Muara Sungai di Besut, Dungun dan Setiu serta Tebatan Banjir di Kuala Terengganu Utara.

Katanya, projek lain termasuk Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT237 membabitkan susur keluar Cukai di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ke Kemaman diikuti Projek Jalan Raya Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Berang.

“Projek kelima pula membabitkan pembangunan kawasan penanaman getah pekebun kecil.

“Pelbagai usaha dirancang untuk merancakkan ekonomi Terengganu dengan memanfaatkan kelebihan dan peluang sedia ada,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Pasca RMK-12 bersama kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

 

Yang hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam perkembangan sama, Mustapa berkata, pihaknya turut mengambil perhatian mengenai isu penyediaan bekalan elektrik di Pulau Redang dan Pulau Perhentian di samping kemudahan kesihatan untuk rakyat dan pertanian yang dibangkitkan bagi pembangunan baharu di Terengganu.

“Kita berjanji dalam masa dua minggu lagi kita akan menjawab secara lebih terperinci kepada kerajaan negeri supaya dapat diberi pencerahan,” katanya