• 25 Jan 2022 | 21 Jamadil Akhir 1443

Liputan Jalur Lebar 4G Di Terengganu Dan Kemaman Meningkat

KUALA LUMPUR, 30 November - Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Terengganu meningkat kepada 94.71 peratus pada suku ketiga tahun ini, berbanding 93.68 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku ketiga 2020.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata secara khususnya di Parlimen Kemaman, peratusan liputan jalur lebar 4G meningkat kepada 94.61 peratus berbanding 84.78 peratus sebelum inisiatif JENDELA.

Beliau berkata setakat Oktober lalu, jumlah struktur pemancar komunikasi di Kemaman adalah 160 yang membabitkan multifungsi sebanyak 35; atas bangunan (29); struktur sementara (enam); menara (89); dan pemancar dinding bangunan (satu); manakala keseluruhan Terengganu adalah 911.

Menurut Zahidi, antara inisiatif bagi menambah baik infrastruktur digital di Kemaman membabitkan penyiapan lapan tapak menara baharu, 148 usaha naik taraf stesen pemancar serta 7,653 premis tersedia gentian optik.

"Secara umumnya, pelaksanaan kesemua inisiatif JENDELA ini bermula sejak September 2020 dan inisiatif yang dalam perancangan akan siap secara berperingkat hingga penghujung 2022," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang ingin tahu jumlah keseluruhan pencawang 4G sedia ada dan perancangan pembinaan pencawang 4G baharu dalam Parlimen Kemaman.

Zahidi berkata JENDELA adalah inisiatif kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia diwujudkan bertujuan menangani isu akses kepada Internet berkualiti bagi perkhidmatan tetap dan mudah alih-BERNAMA