• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Litar Pintas Dipercayai Punca Kebakaran Premis Kedai

SETIU, 17 Oktober - Siasatan kebakaran melibatkan 22 premis di Kampung Cina, Kuala Terengganu pada September lepas dipercayai akibat litar pintas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, siasatan pihaknya mendapati masalah pendawaian elektrik yang lama dan usang telah menyebabkan litar pintas seterusnya mengakibatkan kebakaran yang menyebabkan kerugian hampir RM2 juta.

“Kerugian akibat kebakaran di Kampung Cina baru-baru ini dianggarkan kira-kira RM2 juta manakala harta benda yang berjaya kita selamatkan lebih kurang RM1.2 juta.

“Ia melibatkan premis yang disewa dan ada juga milik sendiri,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Cup di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di sini, semalam.

Pada majlis itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada enam pemenang dalam pelbagai kategori dan turut berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang diiringi oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, pihak JBPM tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan pemeriksaan berkaitan isu pendawaian di premis persendirian.

“Bagi bangunan persendirian, kita tidak ada hak cuma boleh syorkan supaya dibuat pendawaian semula.

“Cuma bangunan yang perlu kepada sijil perakuan bomba atau Fire Certificate (FC) atau sijil layak menduduki bangunan (CF), penguatkuasa kita boleh masuk dan periksa," jelas beliau.

Justeru katanya, JBPM Terengganu merancang untuk mengadakan taklimat menerusi townhall kepada penduduk Kuala Terengganu dalam masa terdekat bagi menerangkan kepentingan pendawaian baharu terutama di kawasan padat bagi mengelak tragedi tidak diingini daripada berlaku.