• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

‘Lockdown’ : Hanya Dua Orang Dibenar Dalam Satu Kenderaan

PUTRAJAYA, 30 Mei – Kerajaan hanya membenarkan dua orang dalam satu kenderaan bagi tujuan mendapatkan keperluan asas dan makanan sepanjang tempoh pelaksanaan ‘total lockdown’ bermula Selasa ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, bagi tujuan perubatan dan kesihatan pihaknya memberi kelonggaran sebanyak tiga orang termasuk pesakit dalam satu-satu masa. 

“Pergerakan yang dibenarkan adalah dalam radius 10 kilometer dari kediaman, namun jika perkhidmatan perubatan dan kesihatan tiada dalam radius tersebut, pergerakan dibenar ke kawasan lain tetapi mesti paling hampir dengan tempat tinggal,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh hari ini.


Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, taman asuhan kanak-kanak (Taska) turut diberikan kebenaran beroperasi untuk petugas barisan hadapan serta ibu bapa yang kedua-duanya bekerja.

“Begitu juga dengan taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) swasta di sekolah swasta, antarabangsa dan ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun, hanya dibenarkan untuk petugas barisan hadapan serta ibu bapa yang kedua-duanya bekerja,” katanya.

Jelas Ismail Sabri, turut dibenarkan ialah aktiviti solat di surau dan masjid yang terhad kepada maksimum 12 ahli jawatankuasa (AJK) manakala aktiviti lain tidak dibenarkan.

“Upacara pernikahan (akad nikah) Islam dibenarkan hanya di pejabat Jabatan Agama Islam dengan kehadiran mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing manakala aktiviti rumah ibadat bukan Islam adalah dihadkan kepada maksimum 12 AJK rumah ibadat dengan kehadiran penganut tidak dibenarkan,” katanya.

Tambah beliau lagi, semua premis makanan, termasuk gerai dibenarkan beroperasi tetapi hanya untuk pembungkusan dan penghantaran seperti yang dilaksanakan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) sejak 12 Mei lalu.


Tag: