• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Lockdown’ : MB Terengganu, Exco Potong Sebulan Gaji Untuk Rakyat

KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Menteri Besar Terengganu dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bersetuju memotong sebulan gaji masing-masing untuk disalurkan ke dalam Tabung COVID-19 negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penjawat awam juga turut bersama menyumbang melalui potongan elaun mereka.  

"Kita akan campurkan dengan potongan elaun pegawai kerajaan untuk dimasukkan ke dalam Tabung COVID-19 Negeri sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19

“Setiap usaha kerajaan negeri adalah sebagai nilai tambah untuk mengurangkan impak sosio-ekonomi rakyat yang terkesan ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena pelancaran Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) hari ini.

Terdahulu Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berhubung dengan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

“Program ini amat dinantikan oleh rakyat Malaysia termasuk rakyat Terengganu untuk mengurangkan beban golongan yang terjejas akibat penutupan beberapa sektor semasa ‘total lockdown’ yang bermula 1 Jun 2021,” tambahnya.
 


Tag: