• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Lockdown' : Solat Jumaat Diganti Solat Zuhur Di Masjid

KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Ibadah solat Jumaat akan diganti dengan solat Zuhur di semua masjid dan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau 'total lockdown' bermula esok hingga 14 Jun ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato' Osman Muda berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri ini amat membimbangkan.

"Solat Zuhur itu mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk kehadiran jemaah yang dibenarkan ialah seramai 12 orang sahaja terdiri dari pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

“Di samping itu, laungan azan di surau dan masjid turut dibenarkan sebagai makluman kepada ahli kariah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Osman, sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain adalah dilarang sepanjang tempoh PKP termasuk tidak membenarkan solat jenazah di masjid dan surau.

"Upacara akad nikah hanya dibenarkan dilaksanakan di pejabat agama daerah dengan kehadiran seramai lapan orang sahaja termasuk wali dan jurunikah.

"Mana-mana kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hendaklah mematuhi arahan sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini.

“Masjid dan surau yang diarah tutup mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan,” katanya.

Dalam pada itu, Osman berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat Terengganu mematuhi setiap arahan ditetapkan dan bersama-sama memainkan peranan dengan barisan hadapan untuk menangani wabak daripada terus merebak.


Tag: