• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Lockdown Terengganu, Kerajaan Negeri Salur Bantuan Segera RM420,000

KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 'total lockdown', kerajaan negeri akan memperuntukkan bantuan bersasar di Mukim Kuala Berang dan Kuala Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak RM420,000 akan disalur bagi meringankan beban mereka yang terjejas susulan penguatkuasaan PKPD.

"Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan bantuan bersasar buat 15 mukim di daerah Besut yang turut dikenakan PKPD sebanyak RM400,000," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri turut menyeru seluruh masyarakat Terengganu untuk kekal bertenang dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) selepas pengumuman pelaksanaan 'total lockdown' yang akan bermula pada 1 hingga 14 Jun.

Beliau menasihati rakyat supaya berganding bahu dan bersatu dalam memutuskan rantaian COVID-19.

"Usah kita menuding jari sehingga mencetuskan suasana yang tidak harmoni, teruskan bermunajat kepada Allah dan berdoa agar ujian ini segera berakhir dan kehidupan kita kembali normal seperti biasa," jelasnya.

Untuk rekod, keputusan 'lockdown' diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes dalam negara.