• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

‘Lockdown’ : Terengganu Tangguh Bayaran Sewa Premis Perniagaan

KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Terengganu akan menangguhkan bayaran sewa premis perniagaan milik kerajaan negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selama dua bulan susulan pelaksanaan ‘total lockdown’ serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penangguhan bagi bulan Jun dan Julai itu dilakukan bagi mengurangkan bebanan peniaga yang terkesan dan terjejas pendapatan.

“Kerajaan negeri bersetuju menangguhkan bayaran sewaan premis perniagaan ini hanya diberikan kepada premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi.

“Penangguhan juga diberikan kepada premis dengan kadar sewa tidak melebihi kadar sewaan RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak menara telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan media sempena pelancaran Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri memaklumkan pihaknya turut memberi moratorium selama 3 bulan untuk peminjam Yayasan Terengganu.

“Namun, kelonggaran ini hanya diberikan kepada mereka yang bergaji RM2,500 ke bawah, dan mereka juga diberi pilihan untuk memohon atau menangguhkan bayaran atau tidak,” tambahnya.


Tag: