• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Loji Air Baharu Dijangka Beroperasi Minggu Ini

KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Sebahagian rakyat di negeri ini boleh menarik nafas lega apabila loji air baharu di Pulau Bahagia, Manir di sini dijangka akan mula menyalurkan bekalan air bersih kepada 200,000 penduduk minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ir Atemin Sulong berkata, antara penduduk yang bakal menerima manfaat daripada loji yang mampu menampung 20 juta liter padu air ialah mereka di sekitar Manir, Pulau Bahagia dan sebahagian Hulu Telemong.

Kata beliau, sepatutnya loji itu beroperasi pada Februari lalu, namun disebabkan terdapat masalah teknikal dan berdepan dengan Perintah Kawalan Pengerakan (PKP), ia ditangguhkan ke bulan ini.

“Manakala dua lagi loji yang dalam pembinaan iaitu Loji Bukit Berapit, Gemuroh dan Loji Losong dijangka boleh digunakan dalam tempoh beberapa bulan nanti

“SATU yakin apabila ketiga-tiga logi itu beroperasi kelak, kira-kira 700,000 pengguna melibatkan sebahagian Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang tidak akan berdepan gangguan bekalan air terutama ketika waktu puncak dan menjelang Aidilfitri,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Ir Atemin turut memberitahu, sebanyak enam pam penggalak dibina di beberapa tempat strategik bagi meningkatkan tekanan bekalan air di kawasan terlibat seperti di PMINT Perdana (Seberang Takir), Jalan Sungai Ikan untuk Felda Sentosa, Gong Kapas, perumahan KT Golf (Tok Jembal), Felda Bukit Sudu dan Taman Telaga Daing.

Katanya, sementara semua projek itu disiapkan, catuan bekalan air di tangki-tangki utama terpaksa dilakukan setiap malam di antara pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi bagi meningkatkan simpanan air untuk membolehkan penduduk menjalankan aktiviti seharian di waktu siang dengan selesa.

“Kerja-kerja pembaikian kebocoran dan pecah juga dilaksanakan dengan cepat bagi mengelakkan pembaziran air.

“Semua ini dilaksanakan semata-mata untuk keselesaan dan tidak mahu melihat penduduk di negeri ini berdepan gangguan bekalan air dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya.

 


Tag: