• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Loji Air Baharu Lengkapkan Keperluan di Tiga Daerah

KUALA NERUS, 4 Julai – Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit yang berkapasiti penuh 120 juta liter sehari (JLH) dijangka dapat memberi manfaat dan melengkapi keperluan di tiga daerah.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Sdn Bhd, TS Abdul Karim Endut berkata pembinaan LRA itu akan memenuhi keperluan bekalan air terawat di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan sebahagian Setiu.

“Dari sudut kepenggunaan semasa, LRA ini memenuhi keperluan air terawat untuk 160,000 pengguna semasa dan berupaya memenuhi keperluan sehingga 480,000 pengguna di masa hadapan. 

“Pembinaan projek LRA Bukit Berapit ini merupakan sebahagian daripada komponen utama projek bekalan air Kuala Terengganu Utara (KTU),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Loji Rawatan Air bertempat di Bukit Berapit, Kuala Nerus di sini hari ini.

Perasmian itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri telah melakukan pelbagai usaha yang efektif bagi menyelesaikan isu air dengan kaedah yang paling baik.

“Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM249.17 juta bagi Perbelanjaan Bekalan Air menerusi belanjawan 2023.

“Perbelanjaan ini merangkumi penaiktarafan infrastruktur dan kemudahan awam bekalan air di Negeri Terengganu secara keseluruhannya.

“Penaiktarafan aset bekalan air di dalam skop Projek Kuala Terengganu Utara (KTU) pula menelan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM1.3 billion.

 “Sekali gus meletakkan sistem perkhidmatan perbekalan air di Negeri Terengganu pada tahap yang lebih baik dan mapan,” ujarnya.

 


Tag: