• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Loji Bukit Berapit Beroperasi Sebulan Lagi

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos – Kerajaan negeri optimis Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit, Kuala Nerus di bawah Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (KTU) memulakan operasi dalam tempoh sebulan lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, pakej pembinaan tersebut hampir siap sepenuhnya kecuali pembaikian cerun akibat runtuhan baru-baru ini.

“Pihak terlibat telah membaiki dengan lebih baik serta mengalihkan paip yang bersaiz besar 1.5 meter hingga 3.0 meter.

“Kita turut dimaklumkan bahawa paip tersebut telah diuji dengan aliran air dalamnya dan menjangka keseluruhan projek bagi LRA Bukit Berapit ini siap dalam sebulan lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Bekalan Air KTU di Pejabat Tanah Projek Bekalan Air KTU sebelum ke LRA Bukit Berapit dan LRA Kepong 2 hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut dan Ketua Pegawai Operasi Konsortium KAJV Sdn Bhd, Ir Abdul Samad Sulaiman.

Dr Mamad turut memaklumkan LRA kepong 2 sedang dinaiktaraf bagi menyalurkan air terawat kepada pengguna di Bukit Kecil, Tangki Panji dan Serada.

 


Tag: