Jalur Gemilang
Berita :
Lori Meluncur Ke Kawasan Jalan Runtuh Aring, Suami Isteri Selamat
Lori Meluncur Ke Kawasan Jalan Runtuh Aring, Suami Isteri Selamat
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
113

KUALA TERENGGANU, 25 September – Seorang pemandu lori dan isterinya berdepan detik cemas apabila lori dinaiki mereka meluncur masuk ke kawasan jalan runtuh berhampiran Sungai Deka Elephant Conservation, Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Supt Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang ketika lori jenis Isuzu yang dipandu Mohd Sapawi Said, 57, dalam perjalanan dari rumahnya di Ajil menuju ke Kuala Krai, Kelantan untuk mengambil bekalan buah-buahan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, Mohd Sapawi bersama isterinya, Siti Noryani Idris, 55, memberhentikan lori sebelum turun untuk melihat keadaan jalan berikutan kawasan berkenaan dilanda tanah runtuh.

“Semasa berada di luar kenderaan, secara tiba-tiba lori berkenaan dipercayai mengalami kerosakan pada sistem brek sebelum meluncur terus ke dalam kawasan tanah runtuh.

“Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya dalam kenyataan.

Sharudin berkata, lori terbabit bagaimanapun mengalami kerosakan pada bahagian belakang, pagar penghadang serta bahagian hadapan yang remuk.

Beliau berkata, lokasi kejadian merupakan jalan persekutuan dua lorong dua hala yang lurus dan mempunyai garisan putih putus-putus sebagai pembahagi lorong.

“Ketika kejadian, kawasan berkenaan merupakan kawasan tanah runtuh dan jalan telah diwartakan tutup untuk semua kenderaan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian keadaan masih siang dengan cahaya terang, manakala cuaca mendung dan permukaan jalan basah.

Katanya, polis telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian termasuk mengambil gambar serta melakar rajah kasar lokasi.

“Rakaman percakapan pemandu lori akan diambil dan rakaman percakapan saksi akan dibuat sekiranya ada.

“Kenderaan terbabit juga akan dibawa ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan