• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

LPP Negeri Terengganu Agihkan 1,050 Pek Bubur Lambuk

KUALA TERENGGANU, 8 April – Dianggarkan kira-kira 1,050 pek bubur lambuk telah diagihkan kepada seluruh anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu dan Pertubuhan Peladang (PP), semalam.

Agihan tersebut telah diadakan semasa program ‘Jom Masak Bubur Lambuk’ bertempat di perkarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Terengganu yang dianjurkan oleh LPP Negeri Terengganu dan Pertubuhan Peladang.

“Ini merupakan julung kalinya pihak kami mengadakan program masak bubur lambuk dan sebelum ini pernah mengadakan pertandingan memasak bubur asyura di antara Pertubuhan Peladang.

“Program ini diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota LPP dan PP di seluruh negeri Terengganu,” kata Pengarah LPP Negeri Terengganu, Hasmila Abas ketika ditemui pemberita. 

Tambah beliau lagi, terdapat pelbagai program yang dirancang oleh LPP Negeri Terengganu bersama Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim. 

“Antara program yang terdekat ialah Majlis Amanat dan Berbuka Puasa bersama Yang Berhormat Dr. Azman Ibrahim untuk mengeratkan hubungan antara LPP dan PP dengan Kerajaan Negeri disamping dapat berkongsi maklumat,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi turut hadir ke program ‘Jom Masak Bubur Lambuk’ untuk menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.

Mengulas berkenaan program itu, Ustaz Muhammad Khalil mengucapkan tahniah atas penganjuran tersebut dan berharap agar ia dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Puan Hasmila bersama ADUN Batu Buruk