• 16 Mei 2024 | 8 Zulkaedah 1445

LTdL 2020 : Jones Takluk Terengganu, Harrif Hampiri Podium

Peserta melalui jalan pantai di Marang.
KUALA TERENGGANU, 8 Februari - Jaguh pecut ARA Sunshine Coast, Taj Jones memenangi peringkat kedua perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 sekali gus melonjak ke tangga ketiga kedudukan keseluruhan sebentar tadi.

Pelumba kelahiran Australia itu menamatkan perlumbaan dari Kuala Terengganu ke Kerteh yang juga jarak terpanjang pada edisi kali ini sejauh 175.5 kilometer (km) dengan catatan masa empat jam lima minit 29 saat.

Tempat kedua menjadi milik Maximilian Richard Walscheid dari pasukan NTT Pro Cycling Team, manakala Lecroq Jeremy dari pasukan B&B Hotels Vital Concept melengkapkan kedudukan podium.

Pelumba terbaik Malaysia merupakan anak jati Terengganu, Harrif Salleh dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) dengan berjaya menduduki tempat kelima dari kedudukan ke-10 dalam peringkat pertama semalam.

Dengan meraih tempat kelima tersebut, Harrif turut dinobatkan sebagai pelumba terbaik Asia pada peringkat kedua.


Pelumba melalui Jambatan Marang.
Sementara itu, meskipun menamatkan peringkat kedua di tempat ke-40, pelumba pasukan Vino Astana Motor, Yevgeniy Fedorov terus mengekalkan Jersi Kuning (keseluruhan), Jersi Hijau (pecut) dan Putih (pelumba terbaik Asia).

Tidak banyak drama yang berlaku pada perlumbaan hari ini dengan pecahan solo yang dilakukan pelumba NTT Pro Cycling Team,
Rylee Field berjaya ditangkap semula di dua km terakhir perlumbaan.

Majlis pelepasan pelumba sebelah pagi tadi telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diiringi Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Zahari Md Azhar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Peringkat ketiga esok akan bermula di Temerloh dan berakhir di Kuala Lumpur dengan jarak perlumbaan sejauh 162.5 km.


Majlis pelepasan pelumba di Dataran Batu Buruk.



Tag: